Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Parit Mahang ditubuhkan lebih 20 tahun yang lalu. JKKK Kampung Parit Mahang mempunyai 16 orang ahli yang menguruskan organisasi ini sebagai sebuah organisasi perantaraan antara penduduk kampung dan kerajaan. Antara matlamat penubuhan JKKK Kampung Parit Mahang ialah mengubah kampung tradisi kepada sebuah kampung moden, melahirkan insan rabbani, madani serta mewujudkan kampung yang maju, menarik dan membangun. Berteraskan cogankata ‘Kampung Kita, Tanggungjawab Kita’, ahli JKKK serta penduduk kampung ini turut berusaha menaik taraf pendidikan anak-anak kampung serta ekonomi penduduk.
Selain berusaha memajukan kampung, JKKK juga tidak mengabaikan hubungan baik antara penduduk melalui penganjuran pelbagai aktiviti atau program kemasyarakatan. Program-program sambutan Israk Mikraj, sambutan bulan kemerdekaan dan Majlis Mesra Rakyat sering dianjurkan bersama agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).